BALING: Polis menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca sebenar kemalangan yang menyebabkan tiga beranak meninggal dunia selepas kereta Proton Persona yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam sungai di Jambatan Pantai Cicar, Kuala Ketil pada petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, setakat ini polis telah merekodkan keterangan daripada beberapa individu yang menjadi saksi dalam kemalangan jam 6.30 petang itu.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan terbabas lalu terjunam ke dalam Sungai.

"Mayat ketiga-tiga mangsa ditemui pasukan bomba dalam keadaan berpelukan di tempat duduk belakang sebaik kenderaan dinaikan ke atas jambatan pada jam 3.30 pagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Kereta terjunam dalam sungai: Jasad tiga beranak ditemui berpelukan

Shamsudin berkata mangsa yang maut dikenal pasti Masyitoh Ibrahim, 37, dan dua anaknya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd Ziyad Haziq, 5.

Katanya, Masyitoh merupakan guru agama Sekolah Kebangsaan Kampung Selarong manakala, kedua-dua anaknya adalah merupakan murid tahun satu dan pra sekolah di sekolah dia mengajar.

Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat.

Sementara kenderaan yang dinaiki mangsa dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.